Privasi dalam Program Apple Beta Software

Program Apple Beta Software ialah program sukarelawan di mana pengguna boleh memasang perisian prakeluaran daripada Apple dan memberikan maklum balas. Menggunakan perisian ini dan menyertai program mungkin melibatkan pengumpulan dan penggunaan data oleh Apple seperti yang digariskan di bawah.

Untuk membantu Apple meningkatkan produk dan perkhidmatannya, Apple mungkin mengumpul dan memproses log dan maklumat diagnostik, teknikal serta penggunaan daripada peranti Apple anda yang menjalankan versi beta iOS, tvOS, atau macOS. Data termasuk data analitis umum, pelbagai pengecam peranti unik, pelbagai pengecam sistem atau perkakasan unik, butiran tentang spesifikasi perkakasan dan sistem pengendalian, statistik prestasi, penggunaan peranti persisian dan — jika Perkhidmatan Lokasi didayakan — maklumat lokasi tertentu. Maklumat yang dikumpul tidak mengenal pasti anda secara peribadi. Apple mungkin berkongsi log dan maklumat diagnostik, teknikal serta penggunaan ini dengan rakan kongsi dan pembangun pihak ketiga untuk tujuan membolehkan mereka meningkatkan produk dan perkhidmatan mereka yang dikendalikan pada atau bersama dengan produk berjenama Apple. Selepas memasang perisian beta, anda boleh memilih untuk tidak menghantar data Analitis kepada Apple dengan menukar seting privasi anda.

Semasa menjalankan perisian beta, anda boleh memilih untuk menghantar maklum balas secara terus kepada Apple menerusi app Feedback Assistant. Setiap laporan maklum balas boleh disertakan fail diagnostik sistem (cth., log kernel, log Profil Sistem Apple, log kegendalaan, log ranap, log putar, log pemasangan, log aplikasi, dll.) daripada peranti Apple anda. Fail tersebut mungkin menyertakan maklumat yang mengenal pasti secara peribadi, termasuk, tanpa pengehadan, nama akaun anda, maklumat tentang kenalan anda, peristiwa kalendar dan surat-menyurat e-mel. Memberikan fail diagnostik ini adalah secara sukarela, tetapi jika anda memberikannya kepada Apple, maka anda mengakui dan bersetuju bahawa anda telah mendapatkan hak dan persetujuan yang diperlukan untuk memberikan maklumat sedemikian kepada Apple dan Apple boleh menggunakannya untuk tujuan diagnostik Apple serta untuk meningkatkan Program Apple Beta Software dan produk serta perkhidmatan Apple.

Maklumat di atas tidak dikaitkan dengan sebarang maklumat lain yang Apple mungkin simpan tentang anda dan digunakan oleh Apple menurut Dasar Privasi kami yang tersedia di https://www.apple.com/legal/privacy/.